TAN  Sri Abdul Hadi Awang
TAN Sri Abdul Hadi Awang
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Isu PASLeak yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas tidak menggoyahkan orang ramai terhadap parti berkenaan.

Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan orang ramai terhadap parti itu tidak tergugat, malah jumlah ahli baharu parti itu terus bertambah setiap bulan.

Beliau berkata, kerjasama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berjalan dengan baik apabila semua yang berada dalam kabinet masih menjalankan tugas masing-masing.

"Sehingga hari ini, tiap-tiap bulan kita terima ahli baharu (mencecah) ribu-ribu ahli baharu tak kurang (daripada) 1,000 ahli baharu, kadang-kadang 2,000 (orang), 4,000 (orang) pun ada.

"Kita tak goyah (dengan isu ini) dan hubungan dengan pemimpin lain juga baik dan hubungan (Pas dan UMNO) khususnya yang di Putrajaya yang memerintah juga baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama politik atau 'khemah besar' yang dilapor dicadangkan pemimpin pembangkang tertentu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan menyertai kerjasama berkenaan sebaliknya akan terus menjalankan agenda perpaduan ummah.

"Kita tak ikut khemah besar, kita ada kumpulan kita sendiri (dan) kita masih terus menjalankan agenda perpaduan ummah.

"(Kita) tak ikut khemah besar besar, dalam khemah besar ada tikus ada kucing, ada macam-macam, kita bukan khemah (tapi) kita bawa agenda perpaduan ummah.

"Apa yang kita nak bawa adalah kerjasama yang pertama (dengan) parti-parti terbesar orang Islam iaitu Pas sendiri, Bersatu dan Umno termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan kumpulan bukan Islam yang tidak ekstremis," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan menggesa kepimpinan Pakatan Harapan supaya tidak terus menutup ruang perbincangan dengan parti pembangkang termasuk Pas dan Bersatu dalam blok kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:49 PM