TAN Sri Abdul Hadi Awang yang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TAN Sri Abdul Hadi Awang yang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pas bersedia bertemu mana-mana pemimpin bagi membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selagi ia berpaksikan kepada penyatuan ummah.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia termasuklah bertemu dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan membentuk kerjasama politik.

Katanya, Pas bersikap terbuka terhadap mana-mana parti yang menerima konsep dan perjuangan Pas ke arah perpaduan ummah.

"Ya, dengan siapa sahaja, kita jumpa... akan diaturkan. Insha Allah dengan semua untuk menyatukan ummah," katanya ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Semalam, Pejuang mendedahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang PRU15.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas mengenai pertemuan dua pemimpin berkenaan, Abdul Hadi berkata, Pas turut dimaklumkan mengenainya.

"Ya (kita) dimaklumkan (pertemuan itu)," katanya.

Pas bekerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) dan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, namun kalah kepada Barisan Nasional (BN).

Sebelum itu Pas juga bersama Umno dan membentuk Muafakat Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:45 PM