HASHIM Jasin. FOTO Arkib NSTP.
HASHIM Jasin. FOTO Arkib NSTP.
Aizat Sharif


Arau: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengakui bahawa sememangnya wujud tawaran kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan daripada seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik kerajaan itu baru-baru ini.

"Namun, kita (Pas) sukar untuk terimanya kerana umum mengetahui bahawa dalam Kerajaan Perpaduan terdapat DAP di dalamnya dan kita pun tahu pendirian mereka yang sentiasa berubah dan mungkin bercakap lain pula esok.

"Mungkin dia (pemimpin kanan) nampak Islam seperti ditekan sekarang dan disebabkan itulah dia mengajak Pas yang mempunyai ahli Parlimen Islam paling ramai menyertai kerajaan.

"Pas mempunyai pengalaman lalu dalam menjalin kerjasama dengan DAP dan sudah pastinya sukar untuk mereka bersama lagi khususnya dalam Kerajaan Perpaduan pada waktu ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, perjuangan Pas akan diteruskan bersama PN dan mana-mana parti lain yang sudi bekerjasama di dalam gabungan itu yang bermatlamatkan demi perpaduan ummah.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada menyindir bahawa kononnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai seorang yang 'perasan' apabila mendakwa ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan.

"Namun, saya berpendapat Ahmad Zahid sendiri tidak mengetahui bahawa tawaran berkenaan wujud jadi disebabkan itu beliau tidak tahu hal sebenarnya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilihat menempelak Abdul Hadi sebagai 'perasan' apabila mendakwa ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 1:25 PM