Mohd Amin Jalil


Nilai: Bekalan keperluan harian termasuk ayam segar dan telur ayam dijamin mencukupi dan tidak akan menghadapi masalah walaupun selepas musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi lain termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan beberapa pengeluar ayam yang memberi jaminan bekalan mencukupi.

"Kita mengadakan rundingan dengan beberapa agensi termasuk pengeluar ayam yang menternak dalam skala besar, mereka memberi jaminan bekalan ayam dan telur mencukupi untuk Aidilfitri dan selepas itu.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam dan telur, jadi saya harap bekalannya kekal ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan Melancarkan Program Jualan Malaysia 2022 Rancak Aidilfitri di sini, hari ini.

Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin dan Pengerusi Aeon Malaysia, Datuk Iskandar Sarudin.

Alexander berkata, kerajaan menetapkan tempoh tertentu bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa bagi memberi keadilan kepada pengguna dan peniaga.

"Kita tidak boleh berterusan sepanjang masa melaksanakan SHMMP ini kerana itu tidak adil kepada peniaga.

ALEXANDER (tiga dari kiri) ketika meninjau harga telur ayam pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan. FOTO Azrul Edham.
ALEXANDER (tiga dari kiri) ketika meninjau harga telur ayam pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan. FOTO Azrul Edham.

"Jadi, kita letakkan satu skim harga munasabah, pada masa yang sesuai dan berharap peniaga mematuhi peraturan serta tidak menjual barangan keperluan asas pada harga tinggi atau mengambil untung berlebihan.

"Lazimnya akan ada naik sedikit (harga barangan) sebaik skim ini berakhir," katanya.

Mengenai isu kartel membabitkan penternakan ayam yang didakwa membabitkan campur tangan politik, beliau berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat mengenainya.

Menurutnya, siasatan itu perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Tidak boleh terlalu cepat mengatakan ada kartel, mungkin ada, saya tidak menafikan, juga belum pasti lagi.

"Saya tidak menafikan dan tidak akan berkompromi dalam hal ini, isu kartel ini bukan perkara mudah tunggu siasatan daripada MyCC.

"Setakat ini kita belum dapat mengesahkannya lagi kerana siasatan masih berjalan termasuk bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 5:42 PM