Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak perlu risau isu bekalan daging ayam dan telur sepanjang Ramadan serta Aidilfitri kelak berikutan ia disahkan mencukupi walaupun terdapat peningkatan permintaan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, menerusi Ops Pantau 2023, pemeriksaan dan pemantauan dilakukan lebih kerap dan bersasar terhadap peniaga.

"Ini termasuklah bekalan gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih.

"Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) melaksanakan pemeriksaan di lokasi sasaran seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar, pasar malam, kedai runcit dan pasar raya," katanya.

Terdahulu Veerapan diiringi Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan menyempurnakan Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2023 di Mydin Mall Seremban 2, di sini, tadi.

Jelas beliau, hasil pemantauan berkenaan, KPDN Negeri Sembilan mendapati bekalan barangan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh Ramadan.

Mengulas mengenai bekalan ayam dan telur ayam yang dijangka mendapat permintaan tinggi menjelang Aidilfitri, Veerapan berkata, pihaknya yakin tiada masalah bekalan bagi kedua-dua bahan mentah berkenaan.

"Seperti yang KPDN lakukan sebelum ini, kami bekerjasama dengan peladang atau pembekal ayam dan telur ayam supaya membantu kami. Sekiranya ada tempat yang terputus bekalan, mereka terus menghantar bekalan ke kawasan terbabit.

"Di Negeri Sembilan terdapat 150 penternak ayam serta lima peladang telur dan difahamkan juga tiada peniaga yang menjual telur import di negeri ini buat masa sekarang. Jadi tiada isu bekalan ayam dan telur ayam sehingga Aidilfitri," katanya.

Tambah beliau, sepanjang Ops Pantau, KPDN mengesan kesalahan pelabelan tanda harga paling banyak dilakukan peniaga, namun tidak mengesan kesalahan lain seperti sorok bekalan dan pencatutan.

"KPDN akan terus mengeluarkan kompaun RM200serta-merta. Jadi kami minta mereka supaya terus kekal dengan amalan sebelum ini kerana peniaga sudah tahu mengenai kesalahan ini," katanya.

S. Veerapan (kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan (dua dari kanan) meninjau harga barangan keperluan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Mydin Mall, Seremban 2. FOTO AZRUL EDHAM
S. Veerapan (kanan) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan (dua dari kanan) meninjau harga barangan keperluan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Mydin Mall, Seremban 2. FOTO AZRUL EDHAM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 3:55 PM