DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) mengadakan tinjauan ke atas pematuhan peniaga sempena SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 . FOTO Samadi Ahmad
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) mengadakan tinjauan ke atas pematuhan peniaga sempena SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 . FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi selepas Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian sudah berbincang dengan beberapa pengeluar ayam terbesar dan mereka memberi jaminan bekalan mencukupi.

"Semalam, saya hubungi seorang pengusaha ladang ternakan ayam terbesar dan beliau memberi jaminan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran.

"Oleh kerana bekalan ayam mencukupi, tiada alasan bagi pengusaha dan peniaga untuk tidak mematuhi harga ayam yang ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa semalam," katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan terhadap pematuhan peniaga sempena SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Mohamad Mustahapa Awang dan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam.

SHMMP 2021 dilancarkan di seluruh negara bermula semalam selama 30 hari.

Skim ini membabitkan 12 jenis barangan keperluan utama bagi pelaksanaan fasa pertama berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Alexander berkata, pada hari pertama pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP menerima dua aduan berkenaan kenaikan harga ayam dan pada peringkat awal, pihaknya mengambil pendekatan menasihati peniaga supaya mematuhi skim yang ditetapkan.

Beliau berkata, sekiranya masih berdegil, peniaga akan dikenakan tindakan atas kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.

"KPDNHEP tidak akan mengubah harga jualan daging tempatan kerana perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh pelbagai agensi termasuk peniaga.

"Kita juga menafikan harga maksimum daging tempatan yang ditetapkan seolah-olah membunuh perniagaan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 1:28 PM