SAIFUDDIN Nasution. FOTO NSTP.
SAIFUDDIN Nasution. FOTO NSTP.
Siti A’isyah Sukaimi


SKIM Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa akan berlangsung 30 hari bermula 21 Mei hingga 19 Jun, membabitkan 27 jenis barangan berbanding 21 barangan, sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh itu akan merangkumi 15 hari sebelum Aidilfitri, pada hari perayaan, sehingga 14 hari selepas perayaan.

Katanya, tempoh itu ditambah berbanding hanya 15 hari pada 2018.

“Barangan yang ditambah pula, ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.

“Turut tersenarai ialah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import),” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Pada masa sama, Saifuddin turut mengumumkan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan yang bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei hingga 7 Jun selama 14 hari.

“Tempoh 14 hari itu membabitkan tujuh hari sebelum, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan berbanding tujuh hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Sebanyak 14 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai berbanding 13 jenis barangan sebelum ini iaitu membabitkan pertambahan barangan cili kering,” katanya.

Bagi membendung kenaikan harga tidak munasabah, Saifuddin berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

Sementara itu, Salahuddin memberi jaminan bekalan makanan mencukupi dan terdapat pertambahan 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bekerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam memastikan bekalan mencukupi serta harga bahan makanan berpatutan sepanjang musim perayaan.

“Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani selama lima hari sebelum Aidilfitri akan dianjurkan di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:23 PM