Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti keperluan meneruskan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) atau sebaliknya.

SHMKM yang membabitkan 12 jenis barangan di bawah kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran bermula pada 1 Januari lalu akan berakhir pada 4 Februari ini dilaksanakan sebagai langkah menstabilkan harga barang selain memastikan bekalan mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan untuk meneruskan skim itu atau ditamatkan pada tarikh ditetapkan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pengguna, peniaga dan pembekal.

DATUK Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan ke Pasar Besar Pudu sempena hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan ke Pasar Besar Pudu sempena hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022. FOTO Rohanis Shukri

"Kita teliti dengan terbaik supaya kesemua pihak dijaga. Pengguna mahukan harga murah tetapi pembekal dan penjual perlu juga mendapat keuntungan yang berpatutan kerana mereka berniaga.

"Jadi tak boleh hanya melihat satu pihak dan menjejaskan yang lain. Contohnya penternak, mereka tak mampu lagi nak mengeluarkan ayam apabila kos sudah meningkat dan mungkin keadaan berlainan jika tiada bekalan ayam nanti.

"Sebab itu kami di KPDNHEP memperincikan dan buat penelitian. Yakinlah kami akan buat yang terbaik," katanya pada sidang media selepas mengadakan 'walkabout' sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Pasar Pudu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil dan Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin.

Mengulas mengenai SHMMP Tahun Baharu Cina yang bermula hari ini sehingga 4 Februari, Alexander berkata, 18 jenis barangan terkawal membabitkan kategori hasil laut, barangan kering dan daging babi.

Menurutnya, bekalan kesemua barangan itu dijamin mencukupi dan pemantauan KPDNHEP mendapati kebanyakan peniaga mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

Ditanya keluhan pengguna terhadap harga ayam yang dikatakan tinggi, beliau berkata, ia bukan masih tinggi tetapi paras yang ditetapkan selama ini.

"Tidak ada peningkatan dalam masa beberapa minggu ini. Jadi janganlah kata sudah meningkat, ia tidak meningkat sebenarnya masih di paras yang kita tetapkan sejak awal Januari.

"Kita dapati ada juga tempat yang mana ayam dijual pada harga lebih rendah daripada yang ditetapkan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:15 PM