ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan yang melanggar SOP PPN. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan yang melanggar SOP PPN. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 75 pengunjung di dua pusat hiburan di ibu negara dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun RM1,000 setiap seorang.

"Turut dikompuan ialah kedua-dua premis terbabit kerana melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPB) PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.

"Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam serbuan itu adalah sebanyak RM77,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sejak 1 Januari lalu, JPJKK Kuala Lumpur berjaya mengeluarkan sebanyak 238 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM238,000 ke atas individu yang gagal mematuhi SOP Covid-19.

"Semua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan Wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 12:25 PM