MOHD Haris bersama pegawai dan anggota menjalankan serbu di sebuah pusat hiburan ketika Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di Penampang
MOHD Haris bersama pegawai dan anggota menjalankan serbu di sebuah pusat hiburan ketika Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di Penampang
Juwan Riduan


Penampang: Individu yang dikenakan kompaun RM1,500 kEEerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Khamis lalu, hanya perlu membayar RM1,000 sahaja.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, penetapan jumlah kompaun itu merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada 13 Disember lalu.

Katanya, nilai kompaun bagi kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peraturan-peraturan ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagaimana dinyatakan mengikut Seksyen 25 Akta 342.

"Sehubungan itu, kepada mana-mana individu yang dikenakan kompaun pada 23 Disember lalu tertakluk kepada pindaan ini iaitu nilai kompaun sebanyak RM1,000 saja.

"Semua individu terbabit boleh membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah Penampang dan segala kesulitan amatlah dikesali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mereka yang terbabit juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Terdahulu, dalam serbuan pada 1 pagi Khamis lalu, seramai 82 pengunjung pusat hiburan dikenakan kompaun selepas didapati melanggar SOP Fasa 4 PPN.

Ketika serbuan dijalankan hasil aduan awam mendapati pengunjung bukan saja tidak mengamalkan penjarakan fizikal, malah ada juga yang didapati tidak membuat imbasan kod MySejahtera ketika memasuki premis berkenaan.

Hasil daripada pemeriksaan itu, kompaun dikeluarkan kepada 82 pengunjung dan pemilik pusat hiburan itu sehingga menjadikan keseluruhan kompaun sebanyak RM148,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 2:25 PM