DATUK Abd Hamid Hussain. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Abd Hamid Hussain. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengadakan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan kualiti dan kebersihan bazar Ramadan di daerah ini sentiasa selamat untuk kunjungi pengguna.

Yang Di Pertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pemeriksaan ini diadakan melalui Bahagian Kawalan dan Keselamatan, Jabatan Kesihatan Persekitaran ke seluruh bazar Ramadan di bawah seliaan MPSepang.

Menurutnya, pemeriksaan ini turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang yang menjalankan persampelan makanan bagi analisa kualiti mengikut jadual ditetapkan di samping mengeluarkan notis secara berkala mengikut jadual ditetapkan.

"Bagi menjaga kebersihan bazar, pihaknya mengarahkan peniaga memasukkan sampah ke dalam plastik dan kerja-kerja kutipan dan pembersihan dijalankan oleh syarikat konsesi KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) selepas tamat operasi perniagaan sekitar 8 hingga 10 malam.

"Selain pemeriksaan kebersihan, MPSepang turut mengadakan pemeriksaan ke atas pengendali makanan sama ada mengambil suntikan vaksin anti-tifiod atau pun tidak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi tahun ini, MPSepang meluluskan 12 tapak bazar Ramadan terdiri dari bazar Ramadan Taman Mas, Pantai Sepang Putra, Sungai Merab,Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi, Cyberjaya, Kota Warisan (Kipmall), Taman Putra Perdana, Taman Dengkil Jaya, Pekan Dengkil, Desa Pinggiran Putra, Sungai Pelek dan Salak membabitkan 574 petak perniagaan.

Katanya, setakat ini ada dikalangan peniaga yang sudah menerima notis arahan pembersihan (Notis Amaran) dan pemeriksaan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan kebersihan makanan dan persekitaran tapak perniagaan dalam keadaan bersih dan baik.

"MPSepang akan terus mempergiatkan pemeriksaan ke atas peniaga di bazar Ramadan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin ketika mendapatkan juadah berbuka puasa."

"Jumlah kutipan sampah harian di daerah ini juga meningkat pada Ramadan iaitu 1.3 metrik tan (mt) berbanding 1.1 mt pada hari biasa, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 4:06 PM