Abd Hamid (dua dari kanan) menyertai gotong-royong membersihkan kawasan penduduk yang ditimpa banjir di Taman Emas. FOTO SAMADI AHMAD
Abd Hamid (dua dari kanan) menyertai gotong-royong membersihkan kawasan penduduk yang ditimpa banjir di Taman Emas. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Dengkil: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sudah mengarahkan KDEB Waste Management Sdn Bhd untuk meningkatkan kutipan sampah akibat banjir di Sepang bermula semalam.

Yang Di Pertua MPSepang Datuk Abd Hamid Hussin berkata, air mula surut di beberapa kawasan kediaman sejak petang semalam dan penduduk sudah mula membersih dan mengeluarkan barangan yang rosak ke luar rumah.

Menurutnya, MPSepang mencadangkan kontraktor untuk mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat sementara bagi melonggokkan barangan elektrik dan perabot yang rosak sebelum dihantar ke pusat pelupusan bagi mengelak kesesakan longgokan sampah di kediaman penduduk.

"Ketika ini, Tapak Pelupusan Sampah Dengkil sesak disebabkan banyak lori keluar masuk untuk membuang sampah sehingga mengambil masa lama bagi menunggu giliran.

"Sejak semalam, kutipan sampah di Dengkil dan Salak meningkat 10 kali ganda berbanding kurang daripada satu tan pada hari biasa," katanya kepada media ketika menyertai gotong-royong membersih Surau Al-Jabar di Taman Emas hari ini.

Ia turut disertai lebih 50 kakitangan MPSepang manakala beberapa kumpulan sukarelawan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membantu membersih kediaman penduduk.

Abd Hamid berkata, pihaknya dimaklumkan, untuk semalam sahaja, 60 tan sampah dihantar ke pusat pelupusan dan jumlahnya dijangka meningkat apabila lebih ramai penduduk pulang ke rumah.

Katanya, kontraktor juga sudah meletakkan 34 tong besar di kawasan Dengkil dan Salak bagi memudahkan penduduk meletakkan barangan yang rosak.

"MPSepang berharap penduduk dapat memberi kerjasama untuk meletakkan barangan yang rosak ke dalam tong yang disediakan bagi memudah dan mempercepat kerja-kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 1:28 PM