MEDAN Selera Dengkil  yang  berusia hampir 20 tahun akan dinaik taraf untuk pembaharuan.
MEDAN Selera Dengkil yang berusia hampir 20 tahun akan dinaik taraf untuk pembaharuan.
Samadi Ahmad


Dengkil: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bercadang merobohkan Medan Niaga, di sini untuk dibangunkan semula menjadi stesen bas berwajah baharu dikenali Terminal@Dengkil.

Yang Di Pertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, pembinaan itu dijangka bermula pertengahan tahun hadapan namun pihaknya masih belum memuktamadkan reka bentuk kompleks selain belum mengeluarkan tender untuknya.

"Kita juga masih berbincang dengan Pejabat Tanah Daerah Sepang untuk mendapatkan kawasan tanah berhampiran yang ingin dibangunkan itu supaya terminal bas nanti mempunyai kawasan yang lebih luas.

"Sementara Medan Selera di situ pula yang sudah berusia hampir 20 tahun dan akan dinaik taraf untuk pembaharuan," katanya ketika ditemui.

Abd Hamid berkata, kompleks dua tingkat bakal dibina itu bersifat pusat sehenti dan lengkap dengan premis perniagaan yang memasarkan barangan bersesuaian.

Beliau maklum mengenai keluhan peniaga namun katanya, dasar MPSepang menetapkan had peniaga menyewa premis perniagaannya setakat 10 tahun.

"Peniaga maklum mengenai perkara ini kerana ia bertujuan untuk memberi peluang kepada peniaga lain berniaga.

"Di Medan Niaga itu, terdapat lima peniaga sudah menjalankan perniagaan melebihi 10 tahun dan mereka diberikan notis untuk mengosongkan premis," katanya.

Bagi menyempurnakan projek pembangunan, MPSepang juga berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pembinaan susur keluar dan masuk agar tidak menghalang trafik ke jalan utama.

Dalam pada itu beliau berkongsi kos pembinaan Terminal@Dengkil yang dianggarkan bernilai RM20 juta dan bakal menjadi mercu tanda baharu kepada penduduk di Dengkil.

Ia juga dijangka memberi kemudahan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terletak berdekatan dan penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 6:30 AM