FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak 52 notis atas kesalahan pelanggaran Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM) dikeluarkan ke atas peniaga bazar Ramadan di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana melanggar PPKM 2009 dan dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM5,450.

Beliau berkata, daripada 52 notis dikeluarkan, 31 disebabkan kesalahan tidak memakai apron, 11 notis ke atas peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan, kebersihan diri tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua).

"Notis tertinggi dikeluarkan kepada peniaga di daerah Besut iaitu 14, diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu (satu).

"Pegawai dan anggota penguat kuasa kami akan terus melakukan operasi dan pemeriksaan bagi mencegah berlakunya penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan, kolera dan kepialu," katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan itu akan terus dilakukan di semua bazar Ramadan di seluruh negeri sehingga berakhirnya Ramadan.

Menurutnya, selain pemantauan dan pemeriksaan, pegawai serta anggota penguat kuasa JKNT akan mengambil sampel makanan secara rawak untuk dianalisis.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa memilih gerai jualan bersih, makanan bertutup serta menggunakan kaedah hidu dan rasa sebelum memakan juadah dibeli di bazar Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 8:50 PM