Missclyen
Missclyen
Redzuan Muharam


Miri: "Terima kasih atas kata-kata positif dan keprihatinan terhadap Missclyen, saya hargainya," kata Roland Jimbai.

Roland, 47, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas kisah anak bongsunya, Missclyen, 11 bulan, yang cukup istimewa kerana dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH) tular sebelum dipaparkan dalam akhbar Harian Metro, hari ini.

Menurut Roland, setakat ini, dia ada menerima tawaran daripada Professor Pediatrik dan Pakar Perunding Kanan Genetik, Klinikal Pakar Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Thong Meow Keong merangkap penasihat perubatan Persatuan Penyakit Jarang Jumpa (MRDS) yang mahu membantu Missclyen menjalani ujian genetik secara percuma.

Bagaimanapun, Roland berkata, dia tidak dapat menerimanya kerana tiada bajet untuk ke Kuala Lumpur ketika ini.

"Saya hargai tawaran beliau cuma saya menetap di Sarawak, bukan Semenanjung.

"Jadi, perlu sediakan wang untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur dan itu belum termasuk kos penginapan serta makanan sepanjang berada di sana.

"Seandainya ada tawaran dan peluang sama pada masa akan datang, saya sedia mempertimbangkannya bergantung kepada duit yang ada ketika itu atau jika ada sudi membiayai kos penerbangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Roland berkata, selain pihak PPUM, ada seorang individu menghubunginya untuk bertanya keadaan Missclyen.

"Individu terbabit juga menyatakan hasrat untuk membantu selepas mengetahui keadaan Missclyen.

"Sebagai bapa, saya terima dengan tangan terbuka selagi ia mendatangkan kebaikan buat Missclyen," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Laporan Harian Metro hari ini mengisahkan perkongsian Roland mengenai keadaan Missclyen yang dilahirkan dengan sindrom CGH sejak lahir.

Roland sedih kerana anaknya itu pernah dipersenda dengan gelaran anak hantu dan anak haiwan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 5:24 PM