AL-SULTAN Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal berkenan bergambar dengan Missclyen yang menghidap sindrom CGH. FOTO Istana Negara.
AL-SULTAN Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal berkenan bergambar dengan Missclyen yang menghidap sindrom CGH. FOTO Istana Negara.
Redzuan Muharam


Bintulu: "Saya sangat gembira dapat bertemu dengan Agong (Yang di-Pertuan Agong) dan terharu kerana baginda sudi mencemar duli berjumpa dengan anak saya," kata Roland Jimbai, 47.

Dia adalah bapa kepada Missclyen, 2, yang dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH).

Roland berkata, penantian selama empat jam, semalam untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berbaloi apabila kehadiran mereka disedari Seri Paduka.

Katanya, dia bersama isteri, Theresa Anak Guntin, 28, dan anak istimewanya menunggu bermula 1.30 tengah hari hingga 5.30 petang apabila mengetahui rombongan Kembara Kenali Borneo akan singgah di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri, di sini.

"Rumah kami tak jauh dengan lokasi program dan walaupun tunggu agak lama, kami tak nak balik dulu, sebab tak tahu bila Agong sampai. Takut jika pulang, saya sekeluarga terlepas peluang jumpa Tuanku.

"Penantian itu memang berbaloi apabila baginda berdua bersama anakanda sudi berjumpa kami malah bergambar dengan Missclyen.

"Dalam pertemuan singkat itu, Agong sempat berpesan minta saya jaga anak (Missclyen) dengan baik kerana Missclyen rahmat daripada Allah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berangkat sama dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak ialah anakanda Seri Paduka berdua iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan itu menjadi kenangan manis buat Roland untuk diabadikan, apatah lagi, gambar Missclyen yang dipangku Tunku Azizah di samping Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal di sisi, turut dikongsi di Instagram (IG) Istana Negara, hari ini.

Roland berharap pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bukan yang terakhir buatnya sekeluarga.

"Jauh di sudut hati, saya menyimpan hasrat untuk berjumpa lagi dengan Agong dan Raja Permaisuri, seandainya ada peluang di kemudian hari," katanya.

Sebelum ini kisah Missclyen pernah dilapor Harian Metro dengan kanak-kanak itu bukan hanya menghidap sindrom CGH tetapi dilahirkan tanpa lubang hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:07 PM