Lee Kim Shin
Lee Kim Shin
Mohd Roji Kawi


Miri: Hasrat rakyat negara ini khusus yang tinggal di utara Sarawak untuk memasuki Brunei apabila sempadan Malaysia dibuka esok tertangguh seketika.

Ia berikutan arahan penutupan sempadan negara itu kekal sehingga 15 April ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau dimaklumkan oleh Kedutaan Brunei mengenai ketetapan pembukaan sempadan negara itu, semalam.

Bagaimanapun katanya, negara terbabit membenarkan sempadan dilalui untuk perkhidmatan perlu sahaja.

"Ya...Brunei belum membuka sepenuhnya sempadan mereka dan jika mahukan maklumat lanjut, boleh dapatkannya dengan Konsulat Brunei," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Konsulat Agung Brunei di Kuching berhubung perkara itu hari ini, gagal.

Sarawak mempunyai pintu sempadan utama dengan Brunei di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujuh, Mengkalap, Tedungan dan Pandaruan.

Pada 26 Mac lalu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu keputusan dua negara jiran, Indonesia dan Brunei mengenai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan darat dengan negara itu

Ia susulan keputusan Kerajaan Persekutuan membuka sempadan negara mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 3:06 PM