Empat PATI yang cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Tebedu diusir keluar, malam tadi. FOTO MARKAS 1 DIV
Empat PATI yang cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Tebedu diusir keluar, malam tadi. FOTO MARKAS 1 DIV
Mohd Roji Kawi


Kuching: Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus di Tebedu, ditahan sebelum diusir keluar malam tadi.

Kehadiran PATI terbabit yang menggunakan laluan tikus antara Tebedu, dalam kawasan Sarawak dan Entikong di wilayah Kalimantan Barat, dikesan sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang melakukan rondaan kira-kira jam 9.35 malam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri berkata, selepas disoal siasat, PATI yang berasal dari Entikong itu mengaku ingin ke Kuching untuk bekerja.

"Mereka kemudiannya diusir keluar dari Malaysia selepas diberi amaran keras," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, pengusiran PATI itu adalah yang kedua dilakukan di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, khususnya di Tebedu pada waktu malam, dalam tempoh dua minggu.

"Kejadian terdahulu adalah pada 7 November lalu apabila empat PATI dari Entikong cuba menyusup masuk ke Malaysia bagi tujuan yang sama.

"Cubaan memasuki Sarawak secara haram pada waktu malam dan awal pagi itu tidak berhasil berikutan kawalan sempadan yang ketat dan tindakan pantas pasukan keselamatan terutama pasukan TDM di bawah Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat yang sentiasa mengawal kedaulatan sempadan negara tanpa kompromi dan tanpa mengira waktu," katanya.

Katanya lagi, seiring dengan fokus utama pelaksanaan OP Benteng dalam mengawal sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi PATI bagi mengekang penularan wabak Covid-19, TDM terutama pasukan di Sarawak sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 3:24 PM