Mohd Roji Kawi

Kuching: Prasarana di Tebedu yang juga laluan keluar masuk pertama Sarawak dan Kalimantan akan dinaik taraf seiring pembangunan infrastruktur di sempadan susulan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berikutan keadaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang semakin usang.

Katanya, kerja menaik taraf kompleks itu yang terletak 110 kilometer dari Kuching perlu kerana pos kawalan sempadan di sebelah Indonesia, iaitu di Entikong sudah dibina baharu.

"Kita juga mempertingkatkan jalinan jalan dan juga ICQS. Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) ada menyuarakan hasrat agar kita turut menaik taraf ICQS di Tebedu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Sungai Tengah, di sini, hari ini.

FADILLAH pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Sungai Tengah. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Sungai Tengah. FOTO Nadim Bokhari

Fadillah yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pembangunan fizikal bagi Sabah dan Sarawak akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi meneliti perkara itu.

"Selain menaik taraf Kompleks ICQS Tebedu, jalan raya menghubungi Tebedu ke Serian (laluan darat keluar masuk antarabangsa utama dari Indonesia ke Sarawak) juga perlu dinaik taraf," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan susulan pembangunan ibu kota Nusantara.

Kelulusan tersebut dibuat selepas pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:45 PM