Mohd Roji Kawi


SARAWAK mengetatkan kawalan di pintu masuk sempadan Malaysia-Brunei di Sungai Tujuh, Miri bagi mengekang penularan wabak koronavirus baharu.

Ia berikutan kemungkinan pelancong China yang memasuki negara ini melalui Kota Kinabalu meneruskan perjalanan ke Sarawak menggunakan jalan darat dari Sabah kemudian Brunei sebelum ke Miri.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pegawai semua agensi berkaitan sudah ditempatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, bagi melakukan pemeriksaan rapi terhadap pelancong asing khususnya warga China yang memasuki negeri melalui jalan darat itu.

“Ramai pelancong China menaiki penerbangan sewa khas mendarat di Kota Kinabalu dan kemudian difahamkan mereka melancong ke Sarawak.

“Biasanya mereka ke Sarawak menggunakan jalan darat, sebab itu kita melaksanakan langkah mengetatkan kawalan sempadan Malaysia-Brunei di Sungai Tujuh, kerana ia adalah laluan utama masuk ke Sarawak melalui jalan darat di utara negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jom Berambeh Makan Durian di Surau Darul Qarar, Kampung Temedak, di Jalan Patingan, Kuching, hari ini.

Selain itu katanya, kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) turut dipertingkatkan, walaupun tiada penerbangan terus dari China ke lapangan terbang itu.

Difahamkan, biasanya pelancong China menaiki penerbangan dari Singapura untuk ke Sarawak.

Abang Johari berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga sudah mengadakan mesyuarat hari ini, bagi membincangkan langkah perlu untuk menangani penularan wabak koronavirus baharu.

“Mesyuarat JPBN itu dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion.

“Antara yang dibincangkan ialah langkah perlu sebagai persediaan menghadapi wabak itu, peruntukan yang diperlukan untuk menyediakan topeng hidung serta persediaan tempat kuarantin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:45 PM