RAMLI (tengah) ketika sidang media berkaitan sindiket penipuan dalam talian dan penipuan pelaburan. FOTO Hairul Anuar Rahim
RAMLI (tengah) ketika sidang media berkaitan sindiket penipuan dalam talian dan penipuan pelaburan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Perdaya pelabur dengan menayangkan wang tunai palsu dan replika jongkong emas ketika bersiaran secara langsung di Tiktok.

Itu taktik sindiket penipuan pusat panggilan pelaburan dalam talian yang menyasarkan warganegara Malaysia untuk melabur urus niaga pasaran saham.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu dua premis pejabat di Petaling Jaya, di sini, 25 April lalu dan menahan lapan individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lapan orang yang ditahan terdiri enam lelaki dan dua wanita berusia21 hingga 43 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati sindiket ini disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan warganegara

Malaysia.

"Premis terbabit dijadikan sebagai pusat khidmat pelanggan selain turut digunakan sebagai pusat pengiklanan dan promosi pelaburan menggunakan aplikasi Tiktok.

"Lapan individu yang ditahan berperanan selaku pengarah syarikat, pengurus, moderator, tenaga pengajar, editor dan 'host live Tiktok,'" katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, turut dirampas tiga komputer, tujuh monitor, tujuh komputer riba, 11 telefon bimbit, router,modem wifi,kamera,seikat wang palsu dollar Amerika Syarikat, 10 replika jongkong emas dan anak kunci.

"Siasatan yang dijalankan mendapati, sindiket ini berperanan untuk mempromosi urus niaga pasaran saham yang didakwa beroperasi di Hong Kong.

"Pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam 'group Telegram' dan diajar untuk melakukan urus niaga jual beli saham itu melalui laman sesawang yang diberikan oleh pihak sindiket.

"Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 12:34 PM