Baharom Bakar


Kuala Nerus: Dua beradik yang mengalami cirit birit dan muntah-muntah 'serik' dan tidak mahu mendesak ibunya membeli kuih berbunga warna pink atau puding buih lagi.

Tuan Naemah Tuan Husain, 37, ibu kepada Muhammad Aqil Rifqi Mohd Rusnizam, 9, dan Nur Azzahra Raisha, 7, dari Kampung Bukit Tok Beng di sini, berkata, kedua anaknya itu sudah dibenarkan keluar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam, selepas menjalani rawatan selama lima hari sejak Khamis lalu.

Menurutnya, Muhammad Aqil Rifqi yang paling menggemari puding buih sudah tidak meminta dan mendesaknya supaya membeli kuih berkenaan seperti kebiasaan.

"Muhammad Aqil Rifqi mungkin sudah serik untuk makan makanan kegemarannya selepas lebih 12 jam berulang-alik ke tandas kerana mengalami cirit birit dan muntah-muntah, Rabu lalu.

"Muhammad Aqil Rifqi paling teruk mengalami cirit birit dan muntah-muntah berbanding adiknya, Nur Azzahra Raisha," katanya sambil mengesahkan puding buih itu dibeli di gerai menjual kuih muih berhampiran padang bola Kampung Bukit Tumbuh di sini, Rabu lalu.

Tuan Naemah dan suaminya, Mohd Rusnizan Johari, 39, dan Muhammad Aqil Rifqi serta Nur Azzahra Raisha ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Tok Beng selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman, hari ini.

Tuan Naemah berkata, keadaan Muhammad Aqil Rifqi serta Nur Azzahra semakin pulih tetapi masih memerlukan pemantauan rapi termasuk makan dan minumnya.

Ketika menceritakan insiden yang menimpa dua anaknya itu, Tuan Naemah berkata, dia terkejut apabila mendapati keadaan Muhammad Aqil Rifqi yang berada dalam keadaan lesu dan tidak bermaya dalam tandas di rumahnya ketika bangun untuk menyiapkan hidangan sahur pada 4.30 pagi Khamis lalu.

NUR Azzahra (kiri) dan Muhammad Aqil Rifqi sedang menjalani rawatan selepas disyaki keracunan puding buih di wad kanak-kanak HSNZ. FOTO Baharom Bakar
NUR Azzahra (kiri) dan Muhammad Aqil Rifqi sedang menjalani rawatan selepas disyaki keracunan puding buih di wad kanak-kanak HSNZ. FOTO Baharom Bakar

"Ketika itu hanya Muhammad Aqil Rifqi yang berada dalam keadaan tidak bermaya, manakala adiknya, Nur Azzahra hanya mengalami muntah-muntah biasa dan mula berulang-alik ke tandas untuk membuang air besar.

"Saya mengesyaki Muhammad Aqil Rifqi dan Nur Azzahra keracunan selepas makan puding buih kerana mereka tidak menjamah makanan lain ketika berbuka puasa," katanya.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengambil sampel puding buih untuk proses ujian makmal bagi menentukan punca dua beradik itu mengalami keracunan makanan.

Katanya, sampel itu dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari.

"Jika terbukti puding buih penyebab keracunan makanan itu, peniaga boleh diambil tindakan mengikut Peraturan 39 Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:55 PM