DR Alias (kiri) dan Ahmad Shah (kanan) ketika sidang media. FOTO Baharom Bakar
DR Alias (kiri) dan Ahmad Shah (kanan) ketika sidang media. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


TELUR tamat tempoh digunakan untuk mengadun puding buih menjadi punca utama berlaku kes keracunan makanan membabitkan 99 individu, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Terengganu Dr Alias Razak berkata, keputusan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu mendapati penggunaan telur tamat tempoh adalah punca utama kes keracunan puding buih.

Bagaimanapun, katanya, semua mangsa kes keracunan puding buih berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sudah menutup dapur premis terbabit selama 14 hari sehingga 7 Jun depan.

"Tindakan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya pada sidang media khas di Bilik Gerakan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya Ahmad Shah Muhamed.

Isnin lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara dalam talian.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pengusaha puding buih itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan selain tidak melakukan suntikan vaksin penyediaan makanan.

Katanya, pengusaha puding buih itu mempromosikan pencuci mulut itu secara dalam talian.

"Berikutan kes itu, JKNT diarah mengenal pasti semua pengusaha dan pengendali makanan untuk melakukan suntikan vaksin," katanya.

Berita berkaitan:

  • Serik makan puding buih [METROTV]
  • 25 lagi mangsa keracunan puding buih

  • Mangsa keracunan puding buih meningkat 74 orang
  • Beraya di hospital angkara puding buih
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:23 PM