BERNAMA

MANGSA keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih di dua daerah di Terengganu terus meningkat kepada 74 orang setakat 3 petang hari ini, kata Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, daripada 74 kes itu yang terdiri daripada 16 keluarga, sejumlah 62 pesakit tinggal di Kuala Terengganu manakala 12 lagi dari daerah Marang.

"Sehingga kini, seramai 33 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hospital swasta (lapan orang) dan bakinya 22 pesakit menerima rawatan sebagai pesakit luar di beberapa klinik kerajaan dan klinik swasta.

"Jabatan juga turut mengesan ahli keluarga mangsa yang lain dan berjaya menemui 11 lagi mangsa keracunan makanan cuma simptom yang mereka alami tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan sejumlah 48 individu mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Nor Azimi berkata, pihaknya sudah memeriksa premis peniaga terbabit dan pengambilan sampel dilakukan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu semalam.

"Sebanyak 11 swab persekitaran, empat swab tangan dan empat sampel makanan sudah kita ambil untuk tindakan lanjut.

"Jabatan juga sudah menutup dapur premis untuk jualan peniaga puding buih itu mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula semalam hingga 7 Jun depan iaitu selama 14 hari," katanya.

Beberapa mangsa keracunan yang ditemui di HSNZ berkata, mereka tidak menyangka dimasukkan ke wad pada Aidilfitri kali ini selepas mengalami cirit-birit, muntah dan demam selepas menikmati puding buih itu.

Siti Hasnah Mustafa, 37, berkata, puding buih itu dibeli dalam keadaan yang masih elok tanpa sebarang bau busuk atau masam.

"Sebab tu saya makan macam biasa sahaja, lagipun keluarga saya memang peminat puding buih… dah biasa beli daripada ramai penjual lain sebelum ini dan tidak pernah mengalami keracunan makanan seperti ini.

"Pada awal pagi raya pertama, saya hantar emak, abang dan dua adik ke HSNZ kerana keadaan mereka agak lemah. Tak sangka semalam keadaan saya pula semakin serius, jadi saya turut dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Seorang lagi pesakit, Abdull Azizi Idris, 63, berkata, puding buih itu dibeli oleh anak perempuannya dan sempat dimakan bersama seorang lagi anak lelaki.

"Memang kerap ke tandas (kerana) cirit-birit, demam dan muntah-muntah… akhirnya dah rasa semakin tak larat, isteri dan anak lain hantar kami ke hospital.

"Memang tak sangka jadi begini pada musim perayaan kali ini, apa pun saya anggap ini ujian Allah dan semoga puncanya dapat diketahui secepat mungkin," katanya.

Berita berkaitan

Beraya di hospital angkara puding buih

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:59 PM