Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebanyak empat episod keracunan makanan membabitkan 93 kes dilaporkan berlaku sejak bermulanya Ramadan, Ahad lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, hanya dua mangsa dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes membabitkan kematian dilaporkan berlaku disebabkan keracunan makanan.

"Semua sampel makanan yang dikaitkan dengan kes keracunan dihantar untuk dianalisis Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal," katanya kepada media selepas melakukan pemantauan Keselamatan dan Kualiti Makanan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.

DR Kasemani (kiri) bertanyakan sesuatu dengan peniaga mengenai kebersihan puding buih semasa membuat pemantauan keselamatan makanan di Bazar Pantai Batu Buruk. FOTO Bernama
DR Kasemani (kiri) bertanyakan sesuatu dengan peniaga mengenai kebersihan puding buih semasa membuat pemantauan keselamatan makanan di Bazar Pantai Batu Buruk. FOTO Bernama

Difahamkan, dua mangsa keracunan makanan yang dimasukkan ke wad untuk rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah dua beradik iaitu Muhammad Aqil Rifqi Mohd Rusnizam, 9, Nur Azzahra Raisha, 7, dari Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus.

Dua beradik itu dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai makan puding buih dibeli ibunya, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, di gerai menjual kuih berhampiran Padang Bola Kampung Bukit Tumbuh, Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 2:57 PM