Lori tangki bersama suspek yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Lori tangki bersama suspek yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki barang kawalan tanpa permit dalam operasi dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Silam, di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, lelaki berusia 37 tahun terbabit yang memandu lori tangki didapati membawa diesel bernilai RM21,500.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati suspek melakukan kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa permit.

"Suspek ditahan manakala lori dan minyak diesel berkenaan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM181,500 termasuk kenderaan digunakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gan berkata, suspek dan rampas kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 10:54 AM