PPM menahan juragan dan lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar beberapa barang kawalan. FOTO ihsan PPM
PPM menahan juragan dan lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar beberapa barang kawalan. FOTO ihsan PPM
Junaidi Ladjana


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan juragan dan seorang lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar beberapa barang kawalan menggunakan bot pam di perairan Felda Sahabat 16, Lahad Datu, semalam.

Bot dikendalikan juragan warga asing berusia 40 tahun itu ditahan sepasukan PPM Lahad Datu ketika menjalankan tugas Ops Gelora pada 10.30 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot pam berkenaan ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut Felda Sahabat 16.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pam menggunakan tiga unit enjin pam dikendalikan juragan dan lelaki berusia 35 tahun. Kedua-dua mereka tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan di ruang bot menemukan tiga unit tong gas petroleum cecair (LPG), enam bungkus gula dan 10 tepung gandum tanpa permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya menerusi kenyataan media.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua suspek juga didapati melanggar syarat Perintah Berkurung dan tangkapan serta semua rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:02 AM