3,000 liter diesel yang berjaya dirampas PPMW5 Bintulu. FOTO Erika George
3,000 liter diesel yang berjaya dirampas PPMW5 Bintulu. FOTO Erika George
Erika George

Bintulu: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri di sini, ketika sedang menyeludup 3,000 liter diesel.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMW5 Bintulu, Asisten Superintendan Ezuandi Bahadin berkata, suspek ditahan Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 di tepi jalan sebelum pihaknya memeriksa lori tiga tan digunakan suspek.

"Pemeriksaan menemukan 3,000 liter diesel dalam enam tangki pada bahagian belakang lori berkenaan," katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan berjadual terbabit.

"Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan, enam unit tangki dan diesel itu dianggarkan bernilai RM87,020," katanya.

Tambahnya, suspek akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDNHEP kerana membawa barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 8:37 PM