LORI tangki berkenaan. FOTO Ihsan PPM
LORI tangki berkenaan. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang pemandu sebuah lori tangki yang disyaki membawa muatan kira-kira 4,000 liter diesel tanpa permit, di sebuah stesen minyak di Kampung Air, di sini, semalam.

Lelaki berusia 21 tahun ditahan ketika dia sedang mengisi tangki minyak berkenaan, kira-kira 8 pagi.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, bertindak atas maklumat berkenaan penyelewengan diesel, pihaknya mengekori sebuah lori tangki di kawasan stesen minyak di Kampung Air.

Katanya, ketika sedang mengisi diesel ke dalam tangki lori, anggota PPM bertindak menahan lelaki terbabit.

"Pemeriksaan mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Lori tangki berkenaan juga sudah diisi kira-kira 4,000 liter diesel," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, pada hari sama iaitu pada jam 7.30 malam, anggota PPM menahan sebuah bot pam di perairan Pulau Gaya dan menemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mengebom ikan.

Katanya, pemilik bot terbabit melarikan diri ke hutan di Pulau Gaya.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 9:40 AM