Sebuah lori tangki yang digunakan salah seorang suspek untuk menyeleweng diesel ditahan. FOTO MELVIN JONI
Sebuah lori tangki yang digunakan salah seorang suspek untuk menyeleweng diesel ditahan. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan diesel dianggarkan bernilai RM378,155 dalam tiga serbuan Op Kontraban, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 antara 6 pagi hingga 8.30 pagi selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tiga suspek berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana didapati membawa bahan api berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan yang digunakan suspek iaitu sebuah van, lori dan lori tangki didapati membawa diesel dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 31,700 liter.

"Ketiga-tiga suspek mengaku membawa muatan diesel itu tanpa permit yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 1:29 PM