Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 40 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor terhadap peniaga dan pemborong ayam di daerah ini, hari ini.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun dikeluarkan kerana mereka menjual ayam lebih daripada harga ditetapkan kerajaan.

"Saya nasihatkan kepada peniaga dan pengusaha supaya patuhi peraturan sedia ada dan beretika.

"Letak tanda harga. Mana-mana peniaga jangan naikkan harga secara mendadak dan sewenang-wenangnya.

"Barangan asas mencukupi jika ada naik harga akan ambil tindakan," katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan dan pemeriksaan di stesen minyak di Tampoi di sini, hari ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Menurutnya, sebanyak 200 anggota ditempatkan di seluruh negeri ini dalam Ops Pantau bagi memantau harga barang di pasar dan bazar Ramadan serta barang asas kawalan.

Pada Ahad, harga ayam segar di bandar raya ini dikesan meningkat kepada RM10 sekilogram (kg), sekali gus dijual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90kg.

Peniaga mendakwa menerima harga ayam segar RM8.60 kg merangkumi kos pengangkutan sebanyak RM1 setiap kg dan terpaksa membayar kos pengangkutan sejak kerajaan menguatkuasakan harga kawalan ayam 5 Februari lalu, sedangkan sebelum ini peniaga tidak dikenakan kos itu (pengangkutan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 3:25 PM