Aizat Sharif

Kangar: Harga ayam segar di Perlis menurun walaupun penamatan kawalan harga dan subsidi ayam segar bermula hari ini.

Tinjauan di Pasar Besar Sena di sini, hari ini mendapati rata-rata peniaga menjual ayam segar pada harga sekitar RM8.50 hingga RM10 bagi sekilogram, berbanding RM9.40 hingga RM10.40 sebelum ini.

Peniaga, Ali Abdul Khalid, 35, berkata perbezaan harga ayam segar di pasar itu sebenarnya bergantung kepada pembekal.

"Harga ayam segar dijual RM9 sekilogram termasuk upah potong. Perbezaan harga itu adalah disebabkan pembekal ayam segar bagi penjual di sini berbeza.

"Harganya memang tidak sama dan seperti kami juga, kami akan melihat 'trend' jualan sekitar satu hingga dua minggu ini sebelum apa-apa perubahan dilakukan," katanya.

Seorang lagi peniaga ayam segar, Arif Fariduddin Azizan, 25 berkata, majikannya menetapkan harga jualan ayam segar sekitar RM10 sekilogram.

"Harga RM10 ini juga tertakluk kepada pembekal kerana sekiranya pembekal menaikkan harga maka harga pasaran ayam segar di pasar itu juga akan berubah.

"Namun setakat ini, meskipun kawalan harga dan subsidi ayam sudah ditamatkan hari ini, harga kami memang tidak berubah seperti sebelum ini," katanya.

Norazah Jaapar dan anggota KPDN Perlis melakukan pemantauan harga ayam segar di Pasar Besar Sena di Kangar selaras dengan penamatan harga kawalan dan subsidi hari ini. FOTO AIZAT SHARIF
Norazah Jaapar dan anggota KPDN Perlis melakukan pemantauan harga ayam segar di Pasar Besar Sena di Kangar selaras dengan penamatan harga kawalan dan subsidi hari ini. FOTO AIZAT SHARIF

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis, Norazah Jaapar berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya mendapati harga ayam segar dijual sekitar RM8.50 hingga RM10 sekilogram.

"Ini berbeza sebelum ini di mana harga runcit maksimum bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram dan harga runcit ayam super adalah RM10.40 sekilogram yang ditetapkan kerajaan mengikut Penentuan Harga Maksimum Ayam.

"Jadi buat masa sekarang ini, tiada berlaku kenaikan harga mendadak walaupun kawalan harga dan subsidi ayam ini ditamatkan," katanya.

Beliau berkata, namun begitu pihaknya akan tetap mengambil tindakan kepada peniaga sekiranya didapati berlaku pencatutan harga sewenang-wenangnya yang dilakukan peniaga terhadap barang keperluan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 12:23 PM