Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peniaga ayam di bandar raya ini semakin tertekan apabila bekalan bahan mentah itu berkurangan serta ditawarkan pada harga terlalu tinggi.

Tinjauan di pasar basah sekitar Tampoi dan Perling di sini mendapati harga ayam di sekitar bandar raya ini terus dijual pada harga antara RM9.50 sehingga RM10 sekilogram (kg), melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 kg.

Peniaga yang ditemui juga mengaku tertekan dan kecewa dengan situasi itu kerana tidak lagi mendapat untung serta balik modal, sebaliknya hanya bertahan memastikan perniagaan tidak ditutup.

Peniaga ayam, Ipat Mohd Hassan, 35, berkata hasil perniagaan menjual ayam segar mulai 1 Ramadan lalu hanya mampu membayar sewa lot niaga, bil utiliti selain gaji pekerjanya sahaja.

Katanya, ia berikutan tindakan pembekal 'mencatu' pesanan peniaga selain memberi stok ayam pada harga tinggi sekali gus menjadikan peniaga seolah-olah ditindas.

"Saya terpaksa naikkan harga ayam segar sekilogram kepada RM9.50 dan tidak mengikut harga kawalan kerana sudah tidak mampu menyerap kerugian.

"Walaupun menjual harga lebih tinggi 60 sen daripada harga kawalan, saya hanya mampu membayar sewa lot niaga, bil utiliti dan gaji pekerja sahaja malah pusingan modal pun tiada.

"Ayam segar diberi pembekal pada peniaga dengan harga RM8.60 termasuk kos pengangkutan RM1. Lebih parah, peniaga membuat pesanan 500 ekor ayam tetapi hanya dibekalkan 150 ekor ayam segar sahaja.

Ipat Mohd Hassan membantu pelanggan di kedainya di sebuah pasar raya di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ipat Mohd Hassan membantu pelanggan di kedainya di sebuah pasar raya di Tampoi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Kami peniaga semakin tertekan kerana permintaan pengguna sangat tinggi setiap kali Ramadan namun peniaga tidak balik modal pun apatah lagi meraih keuntungan," katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam harga ayam segar di bandar raya ini dilaporkan naik kepada RM10kg bermula Ahad lalu, sekali gus dijual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.

Tinjauan pasar basah utama di Pandan dan Larkin, di sini, mendapati mendapati kebanyakan penjual tidak mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan dan menjualnya antara RM9.50 hingga RM10 iaitu antara 60 sen hingga RM1.10 sen lebih tinggi.

Dalam pada itu, peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Salleh, 34, berharap kerajaan dapat campur tangan terhadap manipulasi bekalan ayam oleh ladang dan pembekal.

"Pembekal tetap beri alasan sama harga dedak mahal dan tiada pekerja di ladang menyebabkan harga ayam segar mahal.

"Peniaga seperti kami pula semakin tertindas dengan keuntungan tiada malah dimarah pelanggan dan pengguna kerana didakwa sesuka hati menaikkan harga sedangkan pembekal hantar ayam dengan harga amat tinggi," katanya.

Sementara itu, peniaga bazar Ramadan, Ayu Awang,37, berkata beliau terpaksa pergi banyak lokasi semata-mata bagi mendapatkan ayam segar bagi persediaan perniagaannya sejak Ramadan yang pertama.

"Hari ini tiga pasar saya pergi nak beli ayam segar dan pasar yang ketiga barulah ada stok ayam segar itu pun peniaga pada mulanya tak benarkan pembelian dalam kuantiti banyak berikutan stok tiada.

"Kami pengguna dan peniaga makanan memang tertekan dengan ketiadaan stok ayam apatah lagi harganya mendadak naik. Namun oleh kerana berniaga, terpaksa digagahkan juga bagi memastikan juadah ayam yang menjadi kegemaran ramai dapat disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 4:39 PM