Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mendapati bekalan ayam di negeri ini mencukupi untuk sepanjang Ramadan ini dan Hari Raya Aidilfitri pertengahan Mei depan.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, di sebalik harga ayam yang dilaporkan naik mendadak sejak hari pertama Ramadan, negeri ini tidak mengalami masalah kekurangan bekalan ayam segar selepas pemeriksaan dilakukan di enam ladang utama.

"Tinjauan KPDNHEP mendapati bekalan ayam negeri ini mencukupi sehingga Aidilfitri nanti, namun peladang memberi alasan harga bahan mentah jagung yang dijadikan makanan ternakan mereka, naik kebelakangan ini.

"Sehubungan itu, KPDNHEP Johor memberi amaran supaya peladang, pemborong dan peniaga tidak mengambil kesempatan berikutan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, akan bermula esok," katanya.

Katanya, hari ini KPDNHEP Johor melakukan operasi serentak di semua daerah negeri ini bagi memeriksa bekalan ayam daripada peringkat pengeluar di ladang, pemborong dan peruncit.

"Hasil pemeriksaan kami mendapati bekalan ayam mencukupi sehingga Aidilfitri nanti," katanya selepas meninjau ladang ayam di Pekan Nanas, Pontian dan pemborong ayam di Senai di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, seramai 200 penguat kuasa KPDNHEP Johor dikerah bagi memantau dan memastikan barang keperluan mencukupi pada Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Menurut Hairul Anuar, berkata penguat kuasa KPDNHEP juga diarahkan sentiasa memantau harga barang keperluan sepanjang masa bagi memastikan ia tidak dinaikkan harga sewenang-wenangnya.

Katanya, bazar Ramadan juga akan menjadi tumpuan utama penguat kuasa selain pasar awam di negeri ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Menerusi Ops Pantau, seramai 200 penguat kuasa KPDNHEP Johor akan memantau pasar awam dan bazar Ramadan secara harian bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

"Selain memastikan tanda harga sentiasa diletak, penguat kuasa juga akan memastikan harga barangan yang dijual sepadan dengan kualiti terutama di bazar Ramadan.

"KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga mahu pun pemborong supaya tidak menaikkan harga sesuka hati atau mereka akan diberikan notis sebelum dihadap ke mahkamah kerana pencatutan harga," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP Johor mengeluarkan 32 notis susulan kenaikan harga ayam segar di negeri ini, bagi tempoh lapan hari sejak awal Ramadan lalu.

Mohd Hairul Anuar berkata, ia membabitkan 25 peniaga runcit dan tujuh pemborong ayam segar di pasar awam di sekitar negeri ini.

Katanya, notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Pengguna di negeri ini yang mahu menyalur aduan salah laku peniaga diminta menghubungi talian 03-80008000, pusat sehenti 1800 886 800, Pusat Maklumat Penguatkuasa 03-88826245/6088, nombor WhatsApp KPDNHEP 019-2794317 atau aplikasi telefon Ez ADU.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 4:39 PM