TAN Sri Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan yang Ke-9 Gagasan Melayu Perak (GMP) di Dewan Komuniti Taman Cempaka. FOTO Balqis Jazimah Zahari
TAN Sri Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan yang Ke-9 Gagasan Melayu Perak (GMP) di Dewan Komuniti Taman Cempaka. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Semua menteri yang tidak hadir patut berhenti atau Perdana Menteri mesti pecat Menteri, Timbalan Menteri daripada kerajaan kerana cuai," katanya Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ahli kabinet yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Rabu lalu.

Tengku Razaleigh berkata, mereka wajar diberhentikan kerana menolak satu usul penting yang membabitkan soal keselamatan negara.

"Sosma satu usul yang penting dan soal keselamatan negara macam mana boleh ditolak dan menteri tidak hadir.

"Ia 'collective responsibility' apabila usul nak jaga keselamatan negara tak diendah, tak dipeduli serta ditolak oleh Dewan rakyat bererti Menteri itu tidak bertanggungjawab, simpan buat apa (wajar berhenti)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan yang Ke-9 Gagasan Melayu Perak di di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan ketidakhadiran itu mempunyai unsur sabotaj pihak tertentu, beliau berkata:

"Itu saya tak tahu, serah kepada pihak kerajaan untuk memeriksa 85 orang pihak kerajaan. Itu saja jumlah hadir... yang lain tak hadir termasuk Menteri dan Timbalan Menteri.

"Tak pernah berlaku di mana mana pun, bawa usul dalam Parlimen dan tahu bilangan tidak ramai mengapa tak hadir.. ini cuai," katanya.

Terdahulu, usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Selepas keputusan undian belah bahagi, hanya 85 Ahli Parlimen yang menyokong, manakala 86 lagi menolak, selain 50 lagi tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen itu bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 7:43 PM