IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
IBU Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan penahanan bagi kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas 31 Julai depan.

Ia selepas keputusan Dewan Rakyat yang menolak usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma selepas tarikh berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengambil maklum dan menerima keputusan Dewan Rakyat itu.

"Keputusan itu bermakna Sosma tidak lagi akan memperuntukkan kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu yang ditahan bagi siasatan membabitkan kes keselamatan bersifat kompleks.

"Antaranya kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA kanun sama (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB kanun sama (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015," katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, bagi kes membabitkan kesalahan Sosma yang disiasat selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah.

Kata beliau, PDRM kekal komited bagi menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan akta sedia ada yang masih berkuat kuasa.

Media hari ini melaporkan, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan KDN tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 10:34 PM