HAMZAH pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan. FOTO BERNAMA
HAMZAH pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang mewujudkan pasukan khas bagi memantau isu hina agama.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah cukup untuk memantau dan paling pantas bertindak ketika isu itu tular.

"Hina agama bukan sahaja membabitkan agama Islam sahaja malah, penghinaan kepada mana-mana agama juga tetap menjadi satu kesalahan.

"Jadi, kita akan mengambil tindakan segera terhadap pelaku jika didapati menghina agama di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen di Dataran Pahlawan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kerajaan terbuka untuk bekerjasama dengan pembangkang dalam menambah baik usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, beliau terbuka untuk membincangkan lebih terperinci berkaitan hal berkenaan supaya isu terbabit tidak berlarutan.

"Sebab itu saya maklumkan kalau lihat pada akta itu, kita pastikan perkara ini setiap lima tahun.

"Jadi, lepas 31 Julai ini, kita perlu berbincang dengan semua bagaimana nak buat penambahbaikan supaya pada tempoh lima tahun selepas ini tidak timbul lagi masalah ini.

"Ini kerana (jenis) jenayah ini banyak. (Dalam perbincangan itu) satu persatu dan perinciannya akan dinyatakan, kita akan kumpulkan supaya jenis jenayahnya dan berapa hari tempoh penahanan dan sebagainya.

"Kita kena faham ini adalah undang-undang jenayah kepada pesalah khas. Bukan seperti didakwa kononnya akta ini untuk jenayah lain, sebaliknya ia bagi pesalah khas sahaja," katanya.

Semalam, usul kerajaan berjaya diluluskan untuk keputusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen (MP) pada 23 Mac lalu yang menolak penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA, berhubung tempoh penahanan 28 hari.

Seramai 105 MP menyokong usul itu manakala 83 menolak, dengan 32 MP tidak hadir, selepas undi belah bahagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 4:35 PM