GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 220 ketua isi rumah menerima manfaat hampir RM7.5 juta menerusi Program Mesra Rakyat (PMR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak ia diperkenalkan pada 2012.

Program tanggungjawab sosial yang menyasarkan golongan B40 bukan beragama Islam itu bertujuan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat dengan membaiki, membeli atau membina rumah membabitkan nilai bantuan hingga RM50,000.

Setakat tahun lalu, program itu antara lain menyalurkan sejumlah RM1.56 juta kepada penerima di Kuala Lumpur, RM660,000 di Johor, Selangor (RM580,000), Perak (RM530,000) dan Melaka (RM570,000).

Seorang penerima dari Perak yang hanya dikenali sebagai Kanga, 43, berkata, dia bertuah kerana hasratnya untuk membaiki rumah yang didiami sejak 30 tahun lalu di Bidor direalisasikan oleh TNB.

"Sebelum ini rumah memang ada kerosakan, tandas tidak berfungsi dengan baik dan bumbung juga bocor. Keadaan rumah kami kini bertambah baik sejak kerja-kerja baik pulih dilakukan pada Ogos lepas," katanya yang dihubungi Bernama baru-baru ini.

Wanita yang bekerja sebagai operator di kilang itu berharap inisiatif TNB tersebut dapat diteruskan dan diperluas pada masa hadapan bagi membantu lebih ramai individu dalam memenuhi hasrat mereka untuk menikmati kehidupan lebih selesa.

T Kalithasan, 48, yang merupakan seorang pemandu bas turut berkongsi kelegaan apabila terdapat pihak seperti TNB yang prihatin terhadap kesejahteraan beliau sekeluarga.

Menurut Kalithasan, bumbung rumahnya yang mengalami kerosakan menyebabkan air memasuki rumah setiap kali hujan dan kerosakan itu sedang dibaik pulih oleh pihak kontraktor.

"Kami ada terima bantuan sejumlah RM5,000 untuk baik pulih rumah pada November lepas. Setakat ini, sudah ada kerja-kerja pembaikan kerosakan pada bumbung dan kami lega memandangkan keadaan rumah kini bertambah selesa," katanya.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Vijaya, 44, pula berkata sumbangan daripada TNB yang diterima pada 2020 berbentuk baik pulih rumah sedikit sebanyak menggembirakan beliau dan anaknya.

Vijaya yang sudah 20 tahun tinggal di Kampung Banir, Perak berkongsi cerita sebelum ini rumahnya mengalami pelbagai kerosakan antaranya struktur kayu rumah dan tandas yang menjejaskan keselesaan mereka sekeluarga.

Sementara itu, seorang penternak dan petani di Tumpat, Kelantan, Poo Ang, 66, berkata sumbangan TNB itu memberi 1,001 makna kepada beliau sekeluarga yang sedang menanti pembinaan kediaman baharu lebih selesa.

Menurutnya sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menadah air hujan menggunakan baldi akibat kerosakan pada bumbung rumah yang dibina oleh bapa Poo Ang kira-kira 50 tahun lepas itu selain mengalami pelbagai kerosakan lain.

"Saya pernah ada impian untuk membina rumah baharu, ini memang hajat lama terutama apabila rumah sentiasa rosak dan perlu dibaiki. Jadi, bila ada rumah baharu, mestilah kehidupan akan selesa sedikit. Saya juga harap anak-anak boleh belajar dengan selesa," katanya.

Menurut Poo Ang, pembinaan rumahnya kini memasuki fasa akhir dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini untuk melengkapkan kerja-kerja pembinaan bumbung, pendawaian serta pengecatan.

Bagi menjayakan PMR, TNB turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Syarikat utiliti itu turut melaksanakan bantuan serupa yang dinamakan Program Baiti Jannati, yang menyasarkan golongan kurang berkemampuan beragama Islam dengan kerjasama DBKL, PKNS, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 1:25 PM