GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengenal pasti gangguan bekalan elektrik di Larkin, Johor Bahru adalah disebabkan kerja pengorekan pihak ketiga yang menyebabkan kerosakan kabel elektrik.

Ketua (Operasi) Distribution Network TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, akibat kejadian pada 27 Februari itu seramai 8,000 pengguna mengalami gangguan bekalan elektrik lebih tiga jam bermula 1.31 pagi.

Katanya, gangguan berpunca daripada kerosakan kabel TNB di Jalan Dato Jaafar (berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan).

“Ia adalah kes yang keenam selepas kerosakan kabel TNB di antara Pencawang Masuk Utama (PMU) Kajang dan Stesen Suis Utama (SSU) MRT Kajang pada 19 Februari lalu, akibat kerja pengorekan pihak ketiga.

“Kerosakan di di Kajang, Selangor itu, menyebabkan operasi Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh ke Kajang (SBK) tergendala seketika,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Nazmy, sepanjang tahun lalu, sebanyak 689 kes gangguan bekalan akibat kerja pengorekan pihak ketiga dilaporkan di Semenanjung.

Katanya, ia menyebabkan ketidakselesaan kepada 530,000 pengguna.

“Di Johor pula, sebanyak 56 kes gangguan bekalan elektrik dicatatkan membabitkan seramai 46,337 pengguna.

“Kami mengulangi saranan kepada semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan supaya menghubungi TNB sebelum memulakan kerja.

“Semakan awal dengan kami boleh mengurangkan risiko berlakunya kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB, seterusnya mengurangkan gangguan bekalan,” katanya.

Pihak kontraktor juga boleh memaklumkan kerja-kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my).

Portal itu turut membolehkan kontraktor menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan kerja bakal dilakukan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan gangguan bekalan elektrik boleh hubungi TNB CareLine 15454.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 6:32 PM