Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Tragedi ribut yang merosakkan rumah pada 2018 bertukar rezeki buat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) apabila menerima bantuan bina rumah baharu yang lebih selesa dan sempurna.

Mohamad Zamdi Hassan, 41, berkata, dia tidak pernah menduga berpeluang menerima bantuan bina rumah untuknya dan isteri, Norainni Lias, 34, serta dua anak berusia empat tahun serta enam tahun berteduh.

Katanya, kejadian ribut itu menyebabkan sebahagian besar bumbung rumahnya rosak selain dinding yang diperbuat daripada kayu mulai reput.

"Disebabkan kekangan kewangan, saya hanya menggunakan kain kanvas untuk menutup bumbung. Sekurang-kurangnya, ia melindungi kami daripada panas dan hujan.

"Hari ini, saya bersyukur menerima bantuan (bina rumah baharu) dengan kos perbelanjaannya diberikan hasil bantuan zakat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar menyampaikan sumbangan itu kepada Mohamad Zamdi di rumahnya di Lorong Hamzah 1, Bagan Pasir di sini.

Mohamad Zamdi yang kehilangan kaki kiri akibat kencing manis pada 2018 berkata, dia sekeluarga menganggap bantuan bina rumah itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka selain berharap ia memberi kehidupan yang lebih selesa.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak, terutama Tan Sri (Noh) yang prihatin dan membantu menyediakan bantuan bina rumah baharu," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, PUNB menyampaikan sumbangan zakat bagi membina dua rumah baharu dalam kawasan Parlimen Tanjong Karang.

TAN Sri Noh Omar (kanan) memberi sumbangan zakat kepada penerima, Mohamad Zamdi Hassan (tengah) sambil disaksikan isteri, Norainni Lias (kiri) dan anak-anak di rumah mereka. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
TAN Sri Noh Omar (kanan) memberi sumbangan zakat kepada penerima, Mohamad Zamdi Hassan (tengah) sambil disaksikan isteri, Norainni Lias (kiri) dan anak-anak di rumah mereka. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Beliau berkata, RM17,000 dan RM11,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja membina rumah terbabit.

"Kedua-dua penerima merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan layak mendapat bantuan zakat PUNB," katanya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, selain bantuan zakat PUNB, beliau turut menyalurkan sumbangan kepada empat lagi rumah penduduk di Parlimen itu yang dilanda ribut.

"Alhamdulillah, kita telah membantu semua mangsa ribut dengan menjalankan kerja-kerja baik pulih rumah yang rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 7:24 PM