Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Jumlah kes Covid-19 di Kelantan dijangka meningkat, meskipun Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April ini, berikutan pengambilan dos penggalak di negeri itu yang masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kemasukan pesakit ke wad dan jumlah kematian akibat wabak itu juga akan meningkat.

Katanya, apabila peralihan fasa, rakyat bebas bergerak dan dibimbangi kurang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyebabkan risiko jangkitan dan penularan lebih tinggi.

"Pada ketika ini, pengambilan dos penggalak adalah penting dan lebih-lebih lagi apabila memasuki fasa peralihan endemik tidak lama lagi," katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Zon Bersih Indah dan Ceria Jajahan Machang di Dataran Kenanga, di sini, hari ini.

Sambil menggalakkan rakyat Kelantan mengambil dos penggalak, Dr Izani berkata, menurut kajian pakar, suntikan vaksin Covid-19 boleh mencegah daripada kesan yang lebih buruk.

"Kajian keberkesanan vaksin adalah berdasarkan statistik, di mana sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diperkenalkan, pesakit dalam wad sentiasa penuh dan kes kematian yang terlalu tinggi selain fasiliti juga tidak mencukupi.

"Bagaimanapun, selepas mendapatkan suntikan vaksin, statistik jumlah pesakit yang masuk ke dalam wad semakin berkurangan dan sekiranya ada kes positif, ia hanyalah gejala ringan. Ini membuktikan vaksin berkesan," katanya yang memberitahu kesan sampingan vaksin pula adalah sangat sedikit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 1:19 PM