GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah mencatat kadar pengambilan vaksin dos penggalak yang rendah dengan hanya kira-kira 14 peratus daripada individu yang lengkap vaksinasi menerima suntikan dos ketiga setakat hari ini.

Berikutan itu, kerajaan negeri mengulangi gesaan kepada penduduk di negeri ini untuk mendapatkan dos penggalak bagi menghindari gejala teruk dan mengurangkan risiko kematian akibat jangkitan Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata rekod kes kematian akibat Covid-19 di Sabah sejak Januari lalu menunjukkan jumlah yang tinggi membabitkan golongan belum mendapat dos penggalak.

"Contohnya, daripada 44 orang yang meninggal di luar hospital (BID) akibat Covid-19 dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 17 Februari 2022, seramai 42 orang atau bersamaan 95 peratus belum menerima dos penggalak.

"Ini berbanding hanya dua kematian atau bersamaan lima peratus dalam kalangan mereka yang sudah menerima dos penggalak," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Katanya, orang ramai di negeri ini boleh mendapatkan dos penggalak di klinik kesihatan terdekat dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak yang akan dibuka di seluruh Sabah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Masidi berkata statistik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Sabah semalam, menunjukkan seramai 11,859 individu di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 8,686 orang adalah penduduk dewasa, manakala golongan remaja (69 orang) dan kanak-kanak (3,104 orang).

"Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 20 Februari 2022 ialah seramai 2,485,533 orang. Ini meliputi 2,118,483 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 77.98 peratus jumlah penduduk dewasa.

"Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula ialah seramai 2,412,537 orang dengan seramai 2,099,008 orang atau 77.27 peratus daripadanya ialah penduduk dewasa.

"Seramai 338,443 orang atau 79.41 peratus remaja di Sabah sudah menerima satu dos vaksin, manakala seramai 313,529 atau 73.56 peratus menerima dos lengkap setakat ini," katanya.

Masidi berkata, bagi PICK Kanak-Kanak (PICKids), seramai 28,607 orang atau 6.95 peratus menerima satu dos vaksin setakat ini.

Sabah hari ini mencatat 4,770 kes baharu Covid-19, turun sedikit berbanding 5,007 kes semalam, manakala lima kes kematian dilaporkan, iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Kota Belud, Sandakan dan Tawau.

Seramai 2,633 pesakit Covid-19 pula dilaporkan sembuh, manakala 2,794 pesakit sedang menerima rawatan dengan 64 orang daripadanya memerlukan penjagaan kritikal.

Setakat hari ini, penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di Sabah mencapai 61.38 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 11:16 PM