Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Gertakan polis palsu melalui panggilan telefon sudah cukup membuatkan seorang ahli perniagaan panik sebelum ditipu RM3,780.

Difahamkan mangsa sengaja dijerat sindiket penipuan yang menyamar sebagai 'Inspektor Anis ' dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, penipuan bermula apabila mangsa berusia 44 tahun menerima panggilan telefon dari seorang individu mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Hasil Negeri (LHDN) semalam.

Katanya, suspek memberitahu kononnya mangsa mempunyai cukai tertunggak atas nama syarikatnya berjumlah RM98,666.98 sen sebelum panggilan itu disambungkan kepada Inspektor Anis.

"Inspektor itu kemudian memberitahu mangsa kononnya syarikat mangsa sedang disiasat kerana menjalankan kegiatan jual beli dadah.

"Suspek kemudian meminta mangsa membayar duit jaminan RM5,000 bagi mengelakkan ditangkap.

"Mangsa turut diminta menyerahkan nombor akaun bank, kata nama dan kata kunci kononnya bagi tujuan pemeriksaan. Mangsa yang mudah percaya menyerahkan semua maklumat kepada Inspektor palsu berkenaan," katanya tadi.

Chang Hook berkata, mangsa bagaimanapun curiga sebelum membuat pemeriksaan ke atas akaun bank miliknya.

"Dia mendapati wang sebanyak RM3,780 sudah dipindahkan ke akaun bank tidak dikenali. Susulan itu mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang penoreh getah turut mengalami kerugian selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

"Mangsa berusia 36 tahun dikatakan melayari internet sebelum terlihat iklan pinjaman mudah. DIa kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa dikehendaki membuat pembayaran untuk pelbagai urusan sebelum pinjaman berjumlah RM5,000 diluluskan.

" Percaya dengan urusan itu, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM3,180 dengan tiga kali pembayaran ke dalam akaun bank sebelum diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM1,000.," katanya.

Menurutnya, mangsa yang curiga kemudian meminta urusan dibatalkan sebelum menyedari sudah diperdaya.

"Kedua-dua kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:06 PM