FOTO hiasan
FOTO hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang Penolong Pegawai Farmasi sebuah klinik kesihatan di sini kerugian RM21,250.50 selepas ditipu kumpulan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semuanya bermula apabila mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai Zaman daripada LHDN, Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa diberitahu individu berkenaan mengenai tunggakan cukai berjumlah RM38,600.90 atas nama syarikat Anco Marketing & Trading yang perlu dijelaskan dengan segera.

"Bagaimanapun mangsa menafikan mempunyai syarikat itu sebelum 'pegawai LHDN' terbabit membuat sambungan panggilan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang individu lain dikenali sebagai Sarjan Danny dan kemudian dimaklumkan mengenai pembekuan akaun bank mangsa yang kononnya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Panggilan mangsa kemudian disambungkan pula kepada individu lain bernama Tuan Rosdi sebelum mangsa dimaklumkan penyata bank mangsa ditemui dalam sebuah rumah penjenayah sebelum meminta mangsa bercakap dengan seorang lagi individu bergelar Datuk bagi mengelakkan hukuman dan waran tangkap dikenakan keatasnya," katanya dalam satu kenyataan.

Chang Hook berkata, Datuk terbabit kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Komisioner Zulkifli sebelum meminta mangsa memberi nombor bahagian hadapan kad ATM CIMB Bank, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.

"Suspek mendakwa ia bertujuan membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia bahawa akaun bank mangsa tidak terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram," katanya.

Katanya, tidak lama selepas itu, mangsa menerima satu mesej daripada Bank Rakyat yang memaklumkan dia membuat pemindahan sebanyak RM10,000 dari akaun banknya.

"Mangsa kemudian membuat semakan ke atas semua akaun bank miliknya dan mendapati duit dari akaun bank CIMB dan Bank Rakyat berjumlah RM21,250.50 sudah hilang.

"Dia tampil kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai diminta supaya tidak panik sebaliknya menyemak dahulu maklumat diterima dengan agensi berkaitan dan jangan beri maklumat peribadi kepada pihak ketiga mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:04 AM