GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengeluarkan 750 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi di sekitar ibu negara semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bermula Jumaat lalu dan berkahir awal pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi berkenaan dilakukan di beberapa lokasi iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) DUKE dan lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menurutnya, saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 38 motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Dalam operasi itu, polis turut melakukan tangkapan terhadap 13 lelaki berusia 29 hingga 62 tahun mengikutSeksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Turut ditahan, 10 lelaki termasuk dua warga asing berusia antara 21 hingga 49 tahun didapati mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram serta merampas wang tunai yang diambil dari pemandu- pemandu secara paksaan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 50(3) APJ 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen sama.

Menurutnya, pihak JSPT turut menahan lelaki berusia 28 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam dan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu pelanggaran Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen iaitu tiada pas atau permit yang sah.

"Tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan. JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT), Jalan Tun H.S Lee di talian 03- 2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:58 PM