GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Melvin Joni

Kuching: Pendekatan Sarawak menggunakan sekolah untuk pemberian vaksin Covid-19 ke atas kanak-kanak dilihat amat memberangsangkan.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin berkata, dalam tempoh sebulan bermula 3 Februari lalu, 52.8 peratus atau 150,927 kanak-kanak sudah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Katanya, selain sekolah, tadika dan taska, Sarawak juga memperluaskan pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa janji temu secara berperingkat.

"Seramai 46,475 (25.0 peratus) daripada 185,900 orang kanak-kanak yang tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera telah diberi vaksin Covid-19 di sekolah.

"Sebanyak 906 (70.8 peratus) daripada 1,279 sekolah telahpun dilawati untuk PICKids," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Sarawak menyasarkan 100 peratus sekolah akan dilawati sehingga akhir minggu kedua Mac, manakala PPV jangkau luar yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pengamal perubatan swasta diteruskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman mulai hari ini.

Katanya, PPV itu di Dewan Suarah Sibu, Klinik Kesihatan Kota Samarahan dan Klinik Kesihatan Bintulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:08 PM