GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seramai 904,368 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga Selasa lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) bermula 3 Februari lalu.

Menurutnya, KKM juga menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi PICKids sempena cuti sekolah bermula 26 Februari lalu.

"Sebanyak 412 PPV tambahan dibuka bagi membolehkan PICKids secara walk in di seluruh negara dijalankan.

"Sejak 1 Mac lalu, beberapa PPV di Lembah Klang sudah mula menerima kanak-kanak yang datang untuk menerima suntikan secara walk in," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bagi ibu bapa yang masih belum menerima janji temu suntikan untuk anak mereka boleh terus ke PPV secara walk in.

Katanya, jika kuota vaksin pada hari berkenaan habis, ibu bapa boleh datang semula keesokan hari atau mendaftar untuk mendapatkan slot vaksinasi menerusi MySejahtera.

"Ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka menerusi aplikasi itu akan diberikan pautan janji temu membolehkan mereka memilih tarikh dan lokasi mengikut kesesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 11:35 AM