PETUGAS perubatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech) kepada kanak-kanak di Pusat Pemberian Vaksin Offsite Tapak Ekspo, Seberang Jaya. FOTO Danial Saad.
PETUGAS perubatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech) kepada kanak-kanak di Pusat Pemberian Vaksin Offsite Tapak Ekspo, Seberang Jaya. FOTO Danial Saad.
BERNAMA

Putrajaya: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dilancarkan pada 3 Februari lalu bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, tamat hari ini dengan 33 peratus daripada mereka lengkap menerima dua dos, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, mulai esok hingga 31 Januari 2023, vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022 hanya ditawarkan melalui klinik kesihatan (KK) dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

"Ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksinasi kepada anak yang mencapai lima tahun dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau janji temu secara terus di KK," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat untuk melanjutkan PICKids kerana telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Katanya, selepas ini, sekiranya ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi anak mereka, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

Sejak PICKids dilancarkan Februari lalu, sejumlah 1,720,411 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 1,171,888 kanak-kanak atau 33 peratus telah lengkap dua dos.

"Dianggarkan 548,523 kanak-kanak akan melengkapkan dos kedua mereka selewat-lewatnya 30 Ogos ini," kata Dr Noor Azmi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 2:22 PM