Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penuntut lelaki sebuah kolej di Melaka kerugian RM32,450 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 21 tahun pada mulanya menerima satu panggilan daripada seorang suspek mendakwa pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Ibu Pejabat Kuala Lumpur.

Beliau berkata, 'pegawai LHDN' itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran bagi syarikat didaftar atas namanya.

"Mangsa kemudian memberitahu suspek tidak mempunyai sebarang syarikat sebelum diminta menyerahkan nombor akaun bank bagi tujuan sekatan.

"Disebabkan panik, mangsa mengikut arahan suspek dan memberi satu nombor akaun bank miliknya ," katanya hari ini.

Hoo berkata, mangsa menyedari ditipu sebelum membuat semakan dan mendapati ada transaksi pengeluaran wang dari akaunnya ke akaun individu lain.

Beliau berkata, wang milik mangsa dipindahkan ke dua akaun berasingan membabitkan jumlah RM20,850 dan RM11,600.

Dalam kejadian berasingan, Hoo berkata, seorang guru wanita berusia 47 tahun turut menjadi mangsa penipuan jual beli anjing.

"Pada 18 Februari lalu, mangsa melayari Facebook sebelum terlihat iklan menjual anjing sebelum menghubungi nombor tertera apabila bersetuju membeli dua ekor anjing dan membuat bayaran RM2,700.

"Bagaimanapun, anjing terbabit belum diterima dan suspek masih meminta mangsa membuat bayaran bagi lain-lain urusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:17 PM