Pelakon Drama slot samarinda Lelaki Itu, Datuk Adi Putra pada program close up bersama pelakon Lelaki Itu sempena episode akhir di Hadramawt Kitchen, Ampang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pelakon Drama slot samarinda Lelaki Itu, Datuk Adi Putra pada program close up bersama pelakon Lelaki Itu sempena episode akhir di Hadramawt Kitchen, Ampang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon, Datuk Adi Putra tidak bersetuju apabila ada pihak cuba melagakan dan menyentuh isu kewarganegaraan seseorang susulan kontroversi dicetuskan pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz.

Adi ketika ditemui berkata, dia meminta agar sentimen kasta terhadap penggiat seni yang mencari rezeki di negara ini segera dihentikan sebaliknya perlu diterapkan nilai positif dalam diri.

"Kita tak mahu meletakkan satu sentimen kasta dalam industri perfileman. Sebagai pelakon, saya semestinya tak mahu mencalarkan imej industri hiburan.

"Mengenai isu dua negara ini, ia boleh mencetuskan kasta tidak diinginkan. Diharapkan kasta ini tidak akan wujud untuk imej negara.

"Bagi saya, tak wajar menyentuh isu dua negara, Malaysia dan Singapura. Kalau imbas kembali sejarah bagaimana kehidupan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang bermula di Singapura dan berbalik ke Merdeka Studio, sama juga dengan dua negara ini.

"Tapi, bila berpijak di bumi nyata, sebenarnya kita bekerja. Jadi, bagaimana hendak menepis kontroversi dan prinsip saling hormat menghormati," katanya.

Adi berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Lelaki Itu bersama barisan pelakon di Hadramawt Kitchen, Ampang, di sini, malam tadi.

Menurut Adi, sebagai selebriti yang mencari rezeki tempat orang dia sudah lali dengan tempias, namun tenang menghadapi perkara itu.

"Tempias itu biasa dan pasti wujud di mana-mana sekalipun. Bagaimana nak atasi tempias itu adalah dengan cara masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan." katanya.

Sementara itu, Adi berpendapat kerajaan perlu mewujudkan satu akta baru untuk menyelesaikan isu membabitkan penggiat kreatif bermasalah selain membendung masalah kebanjiran persatuan.

"Saya rasa kena wujudkan satu akta sebab kita dulu bermula dengan persatuan kecil, kemudiannya barulah lahir lebih banyak persatuan.

"Tapi, persatuan ini perlu diperjelaskan adakah ia di bawah satu bumbung akta kerana jika tidak, boleh menimbulkan kekeliruan sama ada persatuan ada akta dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) atau Kementerian Komunikasi.

"Jadi, perkara ini juga perlu diperjelaskan di Dewan Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 12:57 PM